Hikayat Abdullah | Wiki Chibi

Menurut Hashim Awang 1985 kesusasteraan didefinisikan sebagai ciptaan atau hasil seni yang disampaikan melalui bahasa ; sastera membentuk tamadun; hubungannya rapat dengan masyarakat iaitu situasi yang berlaku melibatkan pergolakan yang berlaku dalam masyarakat. Kamus Dewan pula mendefinisikan karya kesusasteraan sebagai hasil seni iaitu karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Menurut Siti Hawa Salleh (1997) pula menyebutkan kesusasteraan meliputi segala hasil penciptaan yang menggunakan alat pertuturan atau bahasa dan tulisan sebagai alat penyampainya.

Melalui definisi yang telah dinyatakan , dapatlah dirumuskan bahawa kesusasteraan merupakan hasil seni disampaikan melalui pertuturan mahupun penulisan. Idea penulisan karya kesusasteraan lazimnya tercetus daripada peristiwa-peristiwa realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian. Penulis karya kesusasteraan bertindak sebagai pemerhati kejadian yang berlaku disekelilingnya.

Sastera zaman Abdullah Munsyi dikatakan pemisah antara zaman sastera Melayu dan zaman satera Melayu baru. Hal ini kerana wujud pembaharuan yang dilakukan dalam penghasilan karya sastera. Jika dahulu karya yang dihasilkan adalah berunsur khayalan , tahyul dan ghaib. Malahan wujud sesetengah karya yang terlalu mengagung-agungkan kerabat diraja sedangkan pada hakikatnya golongan inilah yang paling banyak menindas rakyat. Abdullah Munsyi membawa perubahan apabila beliau mula menghasilkan karya-karya yang secara lantang mengkritik sikap orang-orang Melayu dan institusi beraja. Walaupun ianya dilihat sebagai pengaruh yang negatif pada masa tersebut , namun sedikit sebanyak kritikan tersebut membuka mata orang-orang Melayu agar menyedari tiada siapa yang akan membela nasib bangsa Melayu melainkan mereka sendiri yang mempertahankannya.

SEJARAH KELAHIRAN.

LATAR BELAKANG ABDULLAH MUNSYI.

Abdullah Munsyi atau lebih dikenali sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden merupakan penulis pertama yang membina unsur-unsur dalam Sastera Melayu (Ismail Yusoff 2008:155).Hal ini kerana karya-karya yang dihasilkan oleh beliau merupakan karya yang lebih berunsur realistik. Beliau merupakan tokoh pelopor yang mula-mula keluar dari kebiasaan lama yang melanggar dan mematahkan tradisi yang sekian lama menjadi ikutan. Abdullah Munsyi memalingkan penanya dari menulis cerita-cerita khayalan mahupun ghaib kepada bentuk penceritaan yang lebih bersifat kenyataan. Karya-karya yang dihasilkannya adalah berdasarkan pengalaman, pengamatan dan kisah kejadian sebenar yang berlaku disekelilingnya setiap hari.

Menurut Hamzah Hamdani dalam Hikayat Abdullah (2007:9) Abdullah Munsyi dilahirkan pada 7 Safar 1211 Hijrah iaitu selepas lapan bulan Inggeris mengambil Melaka dari tangan Belanda pada 15 Ogos 1795. Beliau dilahirkan di Kampung Pali dalam bahasa Keling ertinya Kampung Masjid.Abdullah mempunyai empat orang adik beradik, namun kesemuanya meninggal dunia semasa kecil. Abdullah mempunyai darah keturunan Arab daripada moyangnya Syeikh Abdul Kadir yang merupakan seorang yang berbangsa Arab daripada keluarga Uthmani yang berasal dari Yaman. Darah keturunan India muslim pula diperoleh dari sebelah ibunya yang bernama Salmah.

Bapa Abdullah bernama Syeikh Abdul Kadir merupakan seorang yang sangat berkebolehan. Beliau terlibat sebagai penulis dalam aktiviti membuat surat kiriman kepada raja-raja Melayu dalam bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan. Bapa abdullah sangat tegas dalam mendidik Abdullah supaya dapat mewarisi kebolehan yang dimilikinya. Semasa Abdullah kecil , beliau sering diserang penyakit. Menurut kepercayaan masyarakat pada masa itu anak yang sering sahaja sakit hendaklah ‘dijual’ kepada keluarga lain secara simbolik. Abdullah telah dijual sekurang-kurangnya tujuh kali oleh ibubapanya bagi menyembuhkan penyakitnya. Melalui beberapa karyanya beliau ada menyatakan kekesalannya terhadap kepercayaan masyarakat pada masa itu yang terlalu percaya kepada perkara tahyul. Gelaran Munsyi diperolehinya apabila Abdullah mengajar askar-askar dari India bertutur dalam bahasa Melayu.

SEJARAH NEGERI SINGAPURA.

Sekitar tahun 1824 , di dalam hikayat Abdullah Munsyi telah mencatatkan peristiwa dimana telah berlaku satu rampasan kuasa oleh pihak East India Company (EIC) terhadap negeri Singapura. Singapura pada asalnya berada dibawah naungan Melayu Johor-Riau.

Melalui catatan Abdullah Munsyi , penyerahan Singapura berlaku bermula dengan rundingan yang dilakukan oleh pihak EIC bersama dengan pemerintah kerajaan Johor-Riau pada ketika itu iaitu Sultan Husin Syah dan Temenggung Abdul Rahman. Alasan yang diberikan oleh pihak EIC adalah untuk mengelakkan kekeliruan rakyat lantaran Singapura yang berada di bawah pemerintahan dua kuasa iaitu kerajaan Johor dan kerajaan Riau.EIC menawarkan kedua-dua pemerintah ini dengan sejumlah pampasan tinggi yang akan dibayar dengan serta merta dan tambahan bayaran pencen bulanan sepanjang hayat. Selain itu pihak EIC turut akan meningkatkan lagi jumlah bayaran sekiranya Sultan Husin Syah dan Temenggung Abdul Rahman ingin berpindah keluar darpada negeri tersebut.

Pada keesokkan hari setelah tawaran itu dinyatakan , Sultan Husin Syah dan Temenggung Abdul Rahman telah menyatakan persetujuan terhadap tawaran tersebut. Crowfurd yang merupakan residen pada masa tersebut sangat gembira dengan perkhabaran tersebut lantas mengirimkan jemputan datang ke kediamannya untuk menandatangani surat perjanjian penyerahan kuasa Singapura kepada pihak EIC.

Menurut catatan Abdullah Munsyi pada tarikh 2 Ogos 1824 secara rasminya negeri Singapura telah diserahkan kepada pihak EIC melalui perjanjian yang telah dimeterai antara pihak EIC dan pemerintah Singapura. Perjanjian ini telah disahkan oleh Majlis Tertinggi EIC di Bengal pada 19 November 1824. (Zahari A. Rashid. 2008: 184-187)

SEJARAH PELAYARAN ABDULLAH MUNSYI KE PANTAI TIMUR.

Kebijaksanaan Abdullah Munsyi menguasai pelbagai bahasa antaranya bahasa Melayu , bahasa Tamil dan bahasa Inggeris membolehkan beliau memanfaatkannya bekerja sebagai jurutulis atau jurubahasa. Pada bulan Mac 1838 , beliau telah diberi peluang oleh pihak Inggeris untuk mengikuti pelayaran ke negeri Kelantan. Abdullah Munsyi telah mencatatkan pengalamannya sepanjang belayar itu di dalam kisah pelayaran Abdullah Munsyi Ke Kelantan Dan Terengganu.

Pelayaran kapal Inggeris yang disertai oleh Abdullah Munsyi ke Kelantan adalah bertujuan untuk meminta jasa baik Yang di-Pertuan Kelantan pada ketika itu untuk memelihara barang dagangan Inggeris yang disekat keluar disebabkan oleh peperangan yang berlaku di negeri Kelantan. Pelayaran ke Kelantan melalui beberapa perairan buah negeri seperti Pahang , dan Terengganu. Sepanjang pelayaran menuju ke Kelantan pelbagai peristiwa dan budaya yang berbeza dapat dilihatnya.

Semasa kapal pelayarannya singgah di Pahang beliau menceritakan rakyat di Pahang seolah-olah melihat sesuatu yang ajaib apabila mereka singgah disitu. Negeri Pahang begitu kaya dengan hasil tumbuh-tumbuhan berikutan kesuburan tanah yang dimilikinya. Namun pada pandangan Abdullah Munsyi sangat sia-sia kerana penduduknya malas bekerja. Hanya beberapa orang penduduk yang dilihat bekerja. Keadaan di Pahang dikatakan sangat mundur kerana sukar untuk menemui pasar mahupun kedai bagi memperolehi barangan harian. Lebih menyebabkan Abdullah Munsyi terkilan , wujud beberapa tempat yang mengajar mengaji namun tidak seorang pun memahami apakah maksud ayat yang diujarkan oleh mereka.

Di Terengganu pula , Abdullah Munsyi kecantikkan negeri itu yang berpasir putih. Namun Abdullah Munsyi merasa tidak senang dengan larangan-larangan yang tidak masuk akal dikenakan terhadap rakyat. Contohnya pemakaian barangan bewarna kuning tidak dibenarkan melainkan kerabat diraja sahaja yang layak menggunakannya. Adat berjual beli hamba juga sangat bebas berlaku di Terengganu. Abdullah Munsyi turut mencatatkan dialek bahasa Terengganu yang gemar menambah –ng pada penghujung kata. Contohnya bulan disebut bulang , tuan disebut tuang dan jangan disebut jangang. Golongan wanita di Terengganu dikatakan sangat rajin bekerja bagi memperoleh pendapatan. Tapi sayangnya golongan lelaki pula sangat malas bekerja dan hanya duduk di rumah bersama anak-anak tanpa melakukan sebarang pekerjaan yang berfaedah. Menurut Abdullah Munsyi lagi harga barangan yang dijual di Terengganu lebih murah berbanding dengan harga di negeri-negeri lain. Rakyat di Terengganu dikatakan malas bekerja. Namun begitu rakyatnya bersikap sedemikian kerana sikap raja yang suka merampas harta rakyat. Raja sesuka hati merampas hasil-hasil pertanian rakyat tanpa kerelaan. Justeru itu pada fikiran rakyat untuk apa bersusah payah bekerja keras sedangkan hasilnya nanti bukan mereka yang dapat menikmatinya.

Setibanya di Kelantan pula , Abdullah Munsyi merasakan keanehan kerana penduduknya tidak gemar memakai kasut. Namun begitu negeri Kelantan kaya dengan hasil penternakan dan pertanian. Abdullah Munsyi turut menyatakan dialek yang digunakan oleh orang Kelantan, contohnya perkataan sangatdisebut sanga’, minyak disebut minyok dan encik disebut ci’. Menurut Abdullah Munsyi terdapat ramai perempuan jalang di Kelantan. Hal ini kerana beliau melihat pada setiap petang ramai perempuan yang berkemban , tidak berbaju dan bersanggul rambutnya berjalan-jalan. Namun beliau turut memuji keacantikkan sanggul yang diperbuat daripada karangan bunga-bunga yang sebelum ini tidak pernah dilihatnya. Pegangan agama pada ketika itu tidak kuat kerana Abdullah Munsyi dapat melihat dengan jelas bilangan orang yang melakukan aktiviti perjudian dan menyabung ayam lebih banyak berbanding orang yang mengerjakan suruhan Allah yang sangat sedikit bilangannya.

SEJARAH PEPERANGAN MELAKA.

Menurut Darus Ahmad (1957: 73-74) peperangan di negeri Melaka telah berlaku akibat daripada pengenaan cukai oleh pihak Inggeris terhadap penduduk yang telah mencetuskan kemarahan pemimpin Naning pada ketika itu iaitu Dato’ Dol Said . Abdullah Munsyi ada mencatatkan bahawa pada ketika itu beliau berulang alik dari Singapura ke Melaka bagi memenuhi tuntutan pekerjaannya. Dato’ Dol Said pada ketika itu telah mengumpulkan orang-orangnya dan bersedia untuk menyerang Inggeris pada bila-bila masa sahaja.

Berita mengenai kebangkitan pemimpin Naning Dato’ Dol Said hendak menyerang Inggeris telah tersebar ke seluruh negeri Melaka dan sampai ke pengetahuan pihak Inggeris. Askar-askar Inggeris telah dikerahkan bersedia berkawal dengan meriam dan senjata canggihnya. Dikatakan pada waktu itu rumah tukang besi sentiasa dikerumuni oleh rakyat Melaka bagi tujuan menempah senjata. Namun begitu keadaaan masih lahi dapat dikawal.

Tuan Lewis yang menjadi Megistrate di Melaka pada ketika itu mengerahkan beberapa orang pegawai askar-askar berkelengkapan senjata pergi ke Naning. Hal ini menyebabkan rakyat Melaka gempar dengan perkhabaran tersebut. Setelah tiga hari kedua-dua pihak bertempur Tuan Lewis dan askarnya terpaksa berundur ke Melaka tanpa sempat melarikan kelengkapan senjata masing-masing kerana tewas dengan serangan balas pengikut Dato’ Dol Said.

Namun begitu, kekuatan pengikut Dato’ Dol Said semakin berkurangan kerana ramai yang telah membelot. Saki baki pengikutnya yang masih setia melarikan diri ke dalam hutan dan mengumpulkan semula kekuatan untuk menyerang balas. Ternyata pertahanan tersebut tidak lama dan akhirnya Dato’ Dol Said terpaksa menyerah diri kepada pemerintah Inggeris di Melaka lantaran kekuatan askar-askar Inggeris dan kerjasama pengikut Dato’ Dol Said yang semakin berkurangan.

SEJARAH SYAIR SINGAPURA TERBAKAR.

Serta terpandang api itu menjulang

Rasa-nya aruah-ku bagaikan hilang

Di jilatnya rumah serta barang-barang

Seperti anak ayam disambar helang


Seberang menyeberang rumah habis rata

Api-nya chemerlang tiada membuka mata

Bunyi-nya gempar terlalulah gempita

Lemah-lah tulang sendi anggota


Pakaian-ku menyala-lah seperti kertas

Limau manis pun meletup seperti petas

Orang menolong pun terlalu pantas

Merebut barang-barang terlalu lekas


Ringgit pun hancor-lah seperti timah

Habislah meleleh ke bawah rumah

Tiada-lah tentu barang yang di-jamah

Penchuri pun mengangkut-lah bersama-sama


Barang yang hendak ku bawa pulang

Beberapa pinggan mangkok cawan dan dulang

Sakalian-nya itu habislah hilang

Harapan hati-ku bukan kepalang


Menurut Darus Ahmad (1959:70) dalam Munshi Abdullah Syair Singapura terbakar diilhamkan oleh Abdullah Munsyi daripada kejadian kebakaran yang berlaku dikawasan tempat tinggalnya di Singapura yang turut melibatkan rumahnya. Kebakaran telah menyebabkan Abdullah Munsyi kehilangan harta bendanya. Punca kebakaran dikatakan disebabkan oleh kanak-kanak yang bermain mercun sempena sambutan perayaan tahun baru Cina.

Pada masa tersebut Abdullah Munsyi sepatutnya pulang ke negeri Melaka , namun kerana ingin melihat sendiri kemeriahan sambutan tahun baru Cina di Singapura, beliau membatalkan hasratnya.Sebelum kejadian tersebut Abdullah Munsyi telah diserang demam kepialu namun setelah kejadian kebakaran itu demamnya sembuh dengan serta merta akibat terkejut dengan kejadian tersebut. Selepas kejadian kebakaran itu beliau telah mengarang syair ini yang akhirnya menjadi salah satu karya yang terkenal kerana bukan sahaja ditulis dalam bahasa Melayu, malah ia turut diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris.

PANDANGAN ABDULLAH MUNSYI TERHADAP WANITA.

Menerusi karyanya , Abdullah Munsyi dilihat sangat gemar membanding-bandingkan wanita Melayu dan wanita Inggeris. Hubungan baiknya dengan orang Inggeris menyebabkan beliau begitu mengagumi wanita Inggeris yang pada pandangannya jauh lebih baik berbanding wanita Melayu. Wanita Inggeris dilihat sangat pandai membantu suami mereka bekerja. Jika dibandingkan dengan wanita Melayu, mereka hanya tahu bersolek , membuang masa dan tidur sahaja. Pada pandangan mata Abdullah Munsyi wanita Melayu tidak mahu bertungkus lumus bekerja dan memajukan diri mereka supaya setaraf dengan wanita bangsa lain.

Pujian Abdullah Munsyi terhadap wanita Inggeris adalah dipengaruhi oleh hubungannya yang begitu akrab dengan keluarga Raffles. Raffles dan isterinya dikatakan sangat sepadan kerana kedua-duanya berkebolehan membantu kerjaya masing-masing. Antara pujian yang dicatatkan oleh Abdullah Munsyi menerusi pantun adalah:

Puyu-puyu konon namanya,

Didalam kolam konon tempatnya ,

Chantek manis barang laku-nya,

Serta dengan manis budi bahasanya.


Dalam kolam konon tempatnya,

Dipijak oleh laksamana,

Chantek manis barang lakunya,

Serta dengan bijaksananya.


Manakala ,antara pantun yang mengkritik wanita Melayu pula adalah :

Apakah guna berkain batik,

Kalau tidak dengan sujinya,

Apa guna berbini chantek,

Kalau tidak dengan budinya.


Kalau tidak dengan sujinya,

Pakaian Jawa dirumahnya,

Kalau tidak dengan budinya,

Jauhkan dirimu daripadanya.


PANDANGAN ABDULLAH MUNSYI TERHADAP ORANG MELAYU.

Hamzah Hamdani dan Siti Aisah Murad (2004:25) dalam Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940) menyebut sikap dan pemikiran Munsyi Abdullah terhadap orang-orang Melayu dan raja-raja Melayu dilihat dengan jelas dalam kedua-kedua karya autobiografinya. Malahan, disebabkan Abdullah Munsyi bukanlah berketurunan Melayu maka beliau dengan begitu lantang, berani mengkritik orang-orang dan raja-raja Melayu pada masa itu. Namun itu bukanlah bermaksud beliau membenci orang-orang Melayu. Hakikatnya Abdullah Musyi terkilan dengan sikap orang-orang Melayu yang seolah-olah mengabaikan bahasa Melayu sedangkan bahasa Melayu pada ketika itu merupakan bahasa Lingua Franca yang digunakan oleh ramai orang diserata dunia.

Malahan sikap orang-orang Melayu yang tidak mahu menerima ilmu baru seperti ilmu kira-kira dan elektrik sedangkan ia amat berguna dalam kehidupan seharian menimbulkan perasaan kurang senang Abdullah Munsyi terhadap pendirian orang-orang Melayu pada masa itu. Antara petikan dalam karyanya yang menyatakan tentang pandangannya terhadap orang-orang Melayu ialah:

“Maka jikalau kiranya kukhabarkan sekelian itu(tentang ilmu-ilmu baru seperti kemajuan elektrik) kepada orang-orang Melayu nescaya ditutup oleh mereka itu telinganya serta menampar mukaku, katanya terlalu besar bohong”. (Munsyi Abdullah , 1960: 257-258).

“.....bukankah berguna kepada kamu sekelian ilmu kira-kira itu?maka jikalau tidak tahu ilmu kira-kira itu kelak,bagaimana engkau hendak berniaga jual beli?Dan lagi pula beberapa banyak nasihat yang kuberi tiada juga mereka itu endahkan” (Munsyi Abdullah , 1960:120).

“shahadan adapun dari-hal anak muda-muda yang pada zaman itu, tiadalah sa’orang pun yang ingin dengan suka-hatinya hendak belajar akan pekerjaan dari-hal tulis menulis dan bacha surat Melayu itu melainkan akulah sahaja orang yang hina lagi miskin dan bodoh ; hendak berniaga pun, mak bapa-ku oarang miskin, tiada berharta sebab itula ku tuntut benar-benar, sehingga aku menerima-lah pusaka serta mewarithi akan kalam tuan-tuan yang tersebut nama-nya di-atas tadi. (Munsyi Abdullah 1960:31-32).

Abdullah sangat terkilan apabila orang-orang Melayu sendiri tidak mahu mendalami tentang bahasa Melayu dan lebih mementingkan bahasa lain kerana menganggap bahasa Melayu hanya untuk tujuan keduniaan sahaja. Pada pandangan Abdullah Munsyi orang-orang Melayu tidak akan mencapai kemajuan sekiranya terus berada ditakuk lama. Sedangkan beliau sendiri bukan orang Melayu begitu menghargai kepentingan bahasa Melayu dan bersungguh-sungguh mempelajarinya. Bagi Abdullah Munsyi pada waktu itu “terlalu mahal” orang yang tahu menulis dan mengarang dalam bahasa Melayu kerana bilangannya yang terlalu sedikit.

REFLEKSI PENDAPAT TERHADAP PANDANGAN ABDULLAH MUNSYI TERHADAP ORANG-ORANG MELAYU.

Karya Abdullah Munsyi banyak menyatakan perasaan kurang senangnya terhadap sikap orang-orang Melayu tentang beberapa perkara. Antaranya ialah tentang pengabaian terhadap bahasa Melayu oleh orang-orang Melayu sendiri , sikap dan layanan raja-raja Melayu terhadap rakyat dan sikap orang Melayu itu sendiri.

Isu pengabaian terhadap bahasa Melayu jika dilihat bukan sahaja berlaku pada era Abdullah Munsyi namun sehingga kini ia masih diperkatakan. Hakikatnya ada benarnya ktitikan Abdullah Munsyi pada ketika itu. Orang Melayu pada ketika itu masih lagi tidak dapat melihat kepentingan bahasa Melayu sedangkan ianya menjadi antara bahasa terpenting yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam menjalankan pelbagai urusan harian. Masyarakat Melayu pada ketika itu lebih ghairah ingin mempelajari bahasa Arab yang dikatakan dapat digunakan di dunia dan akhirat. Hal ini mungkin berlaku disebabkan oleh pengaruh Islam yang masih lagi baru bertapak di Tanah Melayu dan dasar-dasar kerajaan pada masa itu yang menggalakkan ilmu-ilmu dari Tanah Arab berkembang pesat di Tanah Melayu. Tetapi ajaran agama Islam juga menuntut kita untuk mempelajari pelbagai ilmu agar dapat menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah kebaikan. Antara petikan kritikan beliau daripada karyanya yang menyatakan sikap lalai orang Melayu yang dapat kita jadikan pengajaran agar kita menghargai bahasa Melayu hingga kini:

“...orang Melayu ini belum sedar akan dirinya , ia tinggal dalam bodohnya oleh sebab tiada mahu belajar bahasanya sendiri”(Hikayat Abdullah: 36)

Perkara kedua yang sering menjadi kritikan Abdullah Musnyi terhadap orang Melayu ialah layanan raja-raja Melayu terhadap rakyat. Golongan bangsawan dan kerabat diraja diberi kuasa sewenang-wenangnya memerintah dan menjadi wakil raja tanpa mengira kebolehan dan keupayaan mereka. Hal ini telah menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penindasan kehidupan rakyat. Rakyat yang lemah hanya mampu akur dan tunduk dengan perintah raja kerana takut dengan hukuman yang akan diterima sekiranya mereka tidak taat kepada raja. Namun jika dilihat daripada sudut pandangan lain , hal ini berlaku kerana pengaruh sistem dewaraja yang dibawa oleh agama Hindu. Pada ketika ini Islam masih lagi ‘hijau’ dan terlalu baru. Namun setelah kedatangan Inggeris , kuasa raja mula terbatas dan bermulanya suatu corak pemerintahan baru di Tanah Melayu.

Abdullah Munsyi juga ada menyatakan dalam karyanya yang mengecam sikap lalai orang-orang Melayu seperti sikap malas berusaha , suka bersabung ayam , meletakkan tanggungjawab di bahu perempuan dan suka memakan makanan yang tidak berkhasiat seperti pekasam , tempoyak , ikan masin , jering , petai dan lain-lain lagi. Namun begitu , punca sikap malas orang Melayu ini adalah disebabkan oleh sikap raja yang suka memeras ugut rakyat pada ketika itu. Golongan pemerintah sewenang-wenangnya mengambil hak rakyat dan rakyat seolah-olah hidup hanya untuk berbakti kepada raja semata-mata. Hal ini menyebabkan rakyat menjadi kecewa dan tidak mahu bekerja keras untuk mengubah kehidupan mereka.

Mengenai hal pemakanan , mungkin kerana Abdullah Munsyi bukanlah berasal keturunan Melayu maka beliau menganggap makanan tersebut tidak berkhasiat sedangkan makanan tersebut bukanlah diambil dalam kuantiti yang banyak sehingga boleh menjejaskan kesihatan. Malahan sebenarnya makanan inilah yang menjadi simbol identiti dan keunikkan masyarakat Melayu sehingga kini. Setiap bangsa lain juga mempunyai makanan yang tersendiri yang memperlihatkan identiti bangsanya. Justeru itu tidak hairanlah mengapa Abdullah Munysi mengeluarkan kritikan yang sedemikian kerana beliau bukanlah orang Melayu tulen.

PENUTUP.

Secara keseluruhan dapatlah kita simpulkan bahawa Abdullah Munsyi bukanlah tokoh sembarangan yang boleh disamakan dengan tokoh-tokoh kesusateraan yang lain. Abdullah Munsyi berjaya mencipta identitinya yang tersendiri apabila beliau berani membuka pintu baru dan memalingkan penanya dalam penghasilan karya kesusasteraan di alam Melayu. Malahan beliau turut berani menentang dan menyuarakan dengan lantang seandainya ada sesuatu perkara itu dirasakan tidak betul.

Abdullah Munsyi tidak sekadar menghasilkan karya kritikan yang bermutu , malahan beliau juga merupakn peneraju penting yang menghalakan dunia kesusateraan Melayu agar lebih bersifat realistik dan mempamerkan kebenaran walaupun pahit untuk diterima oleh masyarakat. Keberanian beliau mengkritik institusi diraja yang dilihatnya bersifat tidak adil dan lebih banyak menzalimi rakyat wajar dipuji. Bak kata pepatah “raja adil raja disembah , raja zalim raja disanggah”. Hal ini bermaksud walaupun pemimpin , sebagai rakyat kita tidak harus membiarkan kezaliman terus berleluasa sedangkan rakyat menderita. Namun begitu , tidak dapat dinafikan Abdullah Munsyi bersifat sedemikian kerana beliau bukanlah berketurunan Melayu tulen. Justeru itu , beliau tidak teragak-agak untuk melontarkan pandangan beliau walaupun pada mata masyarakat ia melanggar batas antara pemerintah dan rakyat.

Tags

Posting Komentar

0 Komentar
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.